Tuesday, January 15, 2013

HADIAH TAHUN BARU


Tulisanku yang lepas ada kucatatkan tentang hadiah tahun baruku. Kali ini pasti ramai yang tertanya-tanya, apa lagi hadiah tahun baru kali ini. Jumaat lepas, anak lelakiku jatuh tangga sekolah. Cikgu hantar ke hospital, masuk wad dan disahkan ada tulang di pergelangan tangan patah dan beberapa tulang retak di bahagian siku.

Maka bermulalah tahun baru ini dengan hadiah daripada Tuhan. Aku menerimanya dengan penuh kesyukuran. Walaupun tangan Muhammad Adib sudah disimen separuh, sekurang-kurangnya dia masih punya tangan kanan untuk makan, menulis dan sebagainya. Malang sekali buat anakku, pemilihan sebagai pemain bola sekolah terpaksa dihentikan sehingga tangan sembuh. Aku yakin, di sebalik patah tangannya itu, ada rahmat di sebaliknya.

Ironinya, semasa di wad, aku meminta pendapat anak tentang cerita yang sedang aku garap. Sebuah cerita kanak-kanak yang sudah buntu untuk kusiapkan. Akhirnya, aku mendapat ilham semasa berada di wad tersebut dengan bantuan Muhammad Adib. Beberapa hari lalu, aku sudah berjaya menyiapkan cerita itu dan dengan rasa lapang bersyukur kepada Allah atas setiap ketentuan daripada-Nya.

Thursday, January 10, 2013

Bengkel Penulisan Cerpen

Sebuah bengkel penulisan cerpen anjuran Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) bakal diadakan pada 13 Januari 2013. Alhamdulillah, atas usaha pihak persatuan yang tidak pernah kenal jemu untuk berkongsi ilmu dengan khalayak penulis di luar sana yang dahagakan kelas-kelas bimbingan seperti ini. Yuran RM50 untuk bukan ahli dan RM30 untuk ahli.

Sudah beberapa episod begkel dan seminar yang mengundang, telah terpaksa saya tolak. Masa itu terlalu suntuk untuk melakukan semua perkara dalam satu masa. Kerja-kerja penulisan sangat banyak sehingga terpaksa melenyapkan diri daripada orang-orang tertentu agar kerja-kerja yang sedang disiapkan dapat dilakukan mengikut 'deadline' yang telah ditetapkan pihak penganjur.

Begitulah hidup penulis, walaupun sudah menyiapkan karya, namun hanya akan menghantar karya pada saat-saat akhir. Itulah juga tabiat yang saya lakukan dan masih dilakukan sehingga kini.

Sambil berkarya, saya melukis. Saya teringat kata-kata seorang kenalan yang memberi perangsang agar saya terus melukis, kerana katanya, nanti Dia Yang Esa akan memberi ilham, tugas kita adalah melukis dan terus melukis.

Insya-Allah, saya sedang menghasilkan sebuah buku kanak-kanak yang memerlukan saya menunjukkan bakat sisi lain yang dikurniakan Illahi. Semoga Allah memberkati setiap usahaku ini.

Buat semua karyawan, saya percaya, hari yang dinanti semakin hampir. Tarikh tutup sayembara hanya beberapa hari lagi. Semoga kita sama-sama berjaya menyudahkan semua manuskrip yang sedang kita tulis. Amin.

Friday, January 04, 2013

HADIAH TAHUN BARU

Pada 02 Januari 2013, hari kedua tahun 2013, hari pertama anak-anak mula bersekolah, sebuah bungkusan tiba di muka pintu sekitar jam 5.30 petang. Hati saya berdebar-debar ingin tahu isi kandungannya. Saya melihat alamat urus setia, rasa syukur saya ke hadrat Allah swt atas ketentuan-Nya,tahun baru ini bermula dengan hadiah kemenangan sayembara menulis esei kraf. Kegembiraan ini berterusan apabila saya menerima berita keputusan peperiksaan agama anak lelaki cemerlang dengan 4A 2B 2C. Syukur saya bertambah-tambah.

Tahun 2012,adalah tahun kejayaan apabila saya terpilih tempat kedua dan ketiga dalam sayembara menulis novel sejarah IV. Kejayaan itu menyuntik semangat saya sehingga sebelum tahun 2012 menutup tirai, sempat saya siapkan dua buah manuskrip (Skrip adaptasi novel ke drama tv dan sayembara novel).

Bahagia yang saya kecapi ini hasil semangat suami dan anak-anak. Mereka sentiasa di belakang saya, memberi sokongan selepas saya mengambil keputusan berhenti kerja dan memberi tumpuan dalam bidang penulisan.

Kini saya faham, kenapa ramai orang berjaya di luar sana berkata bahawa manusia punya dua pilihan dalam hidup. Mereka boleh memilih untuk bahagia atau memilih untuk derita. Pilihan adalah di tangan sendiri. Alhamdulillah Illahi telah tunjukkan jalan. Saya yakin dengan ketentuan-Nya.

Syukur, ketika ini, saya berjaya menyiapkan puisi-puisi untuk sayembara anjuran ITBM-PENA-Berita Harian. Seingat saya, sudah berpuluh tahun tidak ada puisi yang saya hasilkan. Apabila ada sayembara seperti ini, terasa bersalah kepada diri sendiri jika tidak menyertainya. Seperti kata pepatah, untuk mendapat kejayaan, kita perlu lakukan yang terbaik. Saya tidak pernah terfikir mahu bersaing dengan sesiapa, tetapi saya sentiasa menulis untuk kepuasan diri sendiri.

Semasa bekerja sebagai wartawan, jika berita tidak sampai ke meja Editor seperti yang dikehendaki, memang teruklah wartawan tu kena bambu. Kebiasaan itu juga saya sering gunakan ketika menyiapkan manuskrip-manuskrip saya. Alhamdulillah, berkata bantuan dan sokongan keluarga, dan restu Ya Rabb, saya berjaya berada di tahap ini. Syukur, syukur.

Kepada teman penulis, tulislah bersungguh-sungguh seolah-olah itulah karya anda yang terakhir. Moga usaha kita mendapat keberkatan daripada Yang Esa. Amin.

Salam Tahun Baru 2013.